Thursday, 1 March 2018

TRIP KE KOTA KINABALU


Entri kali ini mengimbau semula trip kami ke Kota Kinabalu, Sabah pada 24-28 Mac 2014. Agak lama dah tu. Buat yang belum pernah menjejakkan kami ke bumi bawah bayu entri ini mungkin tidak penting. Namun untuk yang baru merancang nak datang ke sini mungkin ini boleh memberi sedikit info sekiranya anda bercadang untuk travel sendiri tanpa mengambil mana-mana pakej dari travel agency.

Pertama sekali yang penting sudah tentu tiket penerbangan. Kami naik Air Asia untuk ke Kota Kinabalu. Tiket kami dah tempah awal-awal waktu Air Asia buat promosi. Kami dapat harga tiket RM49.00 seorang. Jadi kos untuk seorang pergi balik hanya RM98.00. Memang murah dan berbaloi. Rombongan kami ada 7 orang semuanya termasuk ibu dan ayah.

Untuk ke terminal KLIA2 kami menaiki ERL dari Putrajaya Sentral. Kereta kami tinggalkan di parkir Putrajaya Sentral. Lebih selamat di situ.

ibu dan ayah dalam ERL menuju KLIA2

pengalaman pertama bagi angah dan along menaiki pesawat

baru sampai di lapangan terbang Kota Kinabalu


Tiba di lapangan terbang, kami disambut oleh pemandu kenderaan kami untuk ke apartment kami di pekan KK. Saya buat tempahan awal sewa kenderaan untuk kemudahan kami di KK. Boleh google aja sewa kenderaan KK. Ada banyak pilihan kenderaan yang ditawarkan.


Untuk penginapan sebenarnya ada banyak pilihan samada hotel atau apartment. Ikut bajet masing-masing. Kami tempah apartment 2 bilik di Promenade Service Apartment. Boleh google untuk tengok bilik-biliknya. Harga bergantung kepada bilik/apartment yang kita pilih.


Promenade Service Apartment

Selepas check-in apartment kami keluar jalan-jalan sekitar jeti tidak jauh dari apartment kami. Nampak keriangan dan keterujaan di wajah ibu dan ayah pada waktu ini. Maklumlah mereka pertama kalinya datang ke Sabah.


di Jeti KK

Balik dari jalan-jalan kami bersiap-siap pula untuk makan malam. Kami pergi ke kawasan pasar filipino. Ada banyak gerai menjual makanan laut di sini. Antara makanan laut yang kami cuba ialah ikan bakar, ikan 3 rasa, udang goreng tepung, sayur goreng (tiada dalam gambar) dan beberapa menu lain. Memang sedap kerana ikan dan udangnya segar.


Makan malam di area pasar filipina

ada banyak gerai makanan laut di sini

Hari kedua pagi-pagi lagi sudah dijemput oleh pemandu kenderaan kami untuk perjalanan ke Kundasang. Kami dimaklumkan perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam jadi kami harus bertolak awal pagi. Sepanjang perjalanan kami sering berselisih dengan lori-lori besar yang turun naik di kaki gunung kinabalu menuju Kundasang. Kami dihidangkan dengan permandangan menarik sepanjang perjalanan dengan cerun-cerun di kaki gunung dan perkampungan kecil yang sayup-sayup mata memandang.


Sampai di Pekan Nabalu, Kota Belud kami tidak melepaskan peluag mengambil gambar gunung kinabalu. Kami difahamkan waktu pagi adalah waktu terbaik untuk mengambil gambar gunung kinabalu kerana jika terlewat awan tebal akan mula menutupi gunung. Pekan Nabalu juga menyediakan banyak gerai menjual pelbagai barangan cenderahati seperti t-shirt, fridge magnet, barangan kraftangan dan macam-macam lagi.


Ayah dan ibu di Pekan Nabalu, Kota Belud

Gunung Kinabalu

di Pekan Nabalu

Seterusnya kami terus ke Kinabalu National Park untuk melihat gunung kinabalu dengan lebih dekat. Namun kami agak terlewat tiba di anjung tinjau kerana awan tebal telah mula berarak menutupi gunung dan kawasan sekitar. Hati agak sedikit kecewa. Nasib baik masa di Pekan Nabalu sempat ambil gambar gunung. Di Kinabalu National Park inilah check point untuk para pendaki memasuki laluan untuk mendaki gunung.


Kinabalu National Park

di belakang kami adalah gunung kinabalu namun kami sampai di anjung tinjau ini lewat beberapa minit sahaja menyebabkan awan tebal sudah mula menutupi gunung

permandangan pekan Kundasang


Kami berhenti makan tengahari di pekan Kundasang. Terdapat beberapa restoran muslim di sini yang menyediakan masakan melayu seperti nasi ayam, ayam penyet dan makanan panas.


Hentian seterusnya adalah Desa Cattle (Sabah) Sdn Bhd iaitu ladang lembu tenusu. Banyak produk tenusu dihasilkan disini antaranya susu lembu segar berperisa asli dan coklat serta aiskrim dari susu lembu asli. Memang wajib cuba aiskrim di sini. Sedap, tak tipu. Nak ambil gambar lembu pun boleh.



Bergambar di hadapan Desa Cattle (Sabah) Sdn Bhd


Wajah ceria ayah dan ibu

Nampak tak lembu-lembu tenusu jauh dibelakang sana tu

Kami disyorkan pulang awal oleh pemandu kami kerana perjalanan pulang mengambil masa 2 jam. Kami singgah semula di hadapan Kinabalu Park untuk bergambar. Waktu ini kabus sudah mula turun dengan banyak hingga terasa kesejukannya. Agak sukar untuk melihat bangunan dan pintu gerbang Kinabalu Park kerana kabus yang tebal.


dihadapan Kinabalu Park





Persinggahan akhir kami adalah Pantai Tanjung Aru. Kami singgah sebentar untuk menikmati waktu senja di pantai ini. Memang sungguh indah dapat melihat dan merakam permandangan waktu matahari terbenam.


Pantai Tanjung Aru di waktu matahari hampir terbenam

Hari ketiga kami ke Pulau Sapi untuk ber'snokling'. Namun ayah dan ibu hanya mahu berehat di bilik apartment. Jarak dari apartment kami ke Jesselton Point tidak begitu jauh. Memandangkan kami tidak menggunakan khidmat pemandu kenderaan, kami hanya menaiki teksi untuk ke Jesselton Point. Kalau dah ke pulau apalagi aktivitinya kalau bukan menghitamkan kulit. Haha. Air laut yang jernih dan ikan-ikan yang berwarna-warni memang menarik perhatian. Ikan pari pun ada!







air laut yang jernih


Hari keempat adalah hari bershopping. Kami menghabiskan masa di sekitar pasar Filipina untuk mencari ole-ole untuk dibawa pulang. Di sini terdapat banyak barangan untuk dipilih dari t-shirt, barangan mutiara, kraftangan, kerongsang, makanan tradisi seperti amplang, kerepek belinjau pedas (yang ni memang sedap), ikan bilis segar, udang kering segar, terubuk masin dan macam-macam lagi.

Hari kelima kami tidak kemana-mana hanya menunggu untuk dihantar ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana penerbangan kami dijadualkan tengahari.

Pengalaman ke Kota Kinabalu ini amat indah dan lima hari di sini rasanya terlalu singkat. Namun kegembiraan ini amat bererti kerana dapat bercuti bersama insan-insan tersayang. Pastinya kami akan kembali lagi!





2 comments:

  1. Seronoknya, tempat percutian akan dtg... Dalam list saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang seronok kalau dapat bercuti dengan keluarga😊

      Delete

TRIP KE LANGKAWI JANUARI 2019 (PART 3)

Sambungan dari Part 2 Trip ke Langkawi 2019 (14hb-17hb Januari 2019) Day 2 (15hb Januari 2019) Cable Car Hari kedua di Langkawi kami m...